Khamis, 9 Jun 2011

Telor Bungkus


Tengok Telor Bungkus ni macam nasi pataya la pulak. Hehehehe..dah lama tak makan nasi pataya. Tapi kakiza bukan nak kongsi resepi nasi pataya. Kakiza nak kongsi resepi Telor Bungkus. Mula-mula buat tu susah jugak tapi bila dah banyak kali buat jadi mudah je. Jom kita buat...

BAHAN-BAHANNYA:
  • 6 biji telur
  • 1 labu bawang besar (dimayang)
  • 4 ulas bawang putih (didadukan)
  • 1 biji ubi kentang (didadukan)
  • 1 batang lobak merah (didadukan)
  • Sedikit daging dada ayam (dipotong nipis)
  • 3 batang crabstick (boleh juga guna isi ketam)
  • 1 sudu besar serbuk kari
  • 3  sudu besar tomato puri
  • 1 sudu besar serbuk cili (bancuh dengan sedikit air)
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 1 kiub pati ayam
  • Sedikit daun sup
  • Garam dan gula
CARA-CARANYA:
Inti:
  1. Tumiskan bawang besar dan baang putih hingga garing. Masukkan lada hitam.
  2. Kemudian masukkan ayam dan crabstick. Masak hingga ayan kecut, kemudian masukkan serbuk cili yang dibancuh air tadi. Masukkan juga tomato puri,kiub ayam dan serbuk kari. Kacau hingga garing.
  3. Kemudian masukkan lobak merah dan kentang. Masak sampai lobak merah dan kentang empuk. Kemudian masukkan pula daun sup. Angkat dan masukkan ke dalam bekas.
Telor bungkus:
  1. Dadarkan 3 biji telur dan masukkan ke dalam kuali yang telah di sapukan dengan sedikit minyak. 
  2. Kemudian masukkan inti tadi di atas telur tersebut.
  3. Tunggu telur kering sedikit. Kemudian dadarkan 3 biji lagi telur dan tuangkan atas inti itu.
  4. Terbalikan perlahan-lahan telur itu. bila dah masak bolehlah dihidang. Letakkan sos dan bawang goreng di atas sekiranya suka. Itu saja selamat mencuba.

Sotong Sumbat Goreng



Ringkas je resepi ni. Sotong Sumbat Goreng itulah resepi yang kakiza nak kongsi hari ini. Tengahari ni atau malam nanti boleh la buat Sotong Sumbat Goreng ni. Meh la kita tengok resepinye.

BAHAN-BAHANNYA:
  • 4 ekor sotong besar (dibuang kepala dan dibersihkan)
  • 3 sudu besar kelapa parut (ditumbuk lumat)
  • 3 tangkai cili merah (ditumbuk lumat)
  • 3 ulas bawang merah (ditumbuk lumat)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk lumat)
  • 2 cm halia (ditumbuk lumat)
  • 2 cm kunyit (ditumbuk lumat)
  • Garam secukup rasa
  • 2 sudu besar air asam jawa
  • Sedikit serbuk cili dan kunyit
  • Minyak untuk menggoreng
CARA MEMBUATNYA:
  1. Campurkan bahan tumbuk tadi dengan garam dan air asam dan kacau rata.
  2. Kemudian isikan ke dalam sotong dan cucuk bahagian atas sotong itu dengan lidi sate supaya bahan di dalam sotong tadi tidak keluar.
  3. Kemudian lumurkan sotong dengan garam,kunyit dan serbuk cili.
  4. Panaskan minyak dan goreng sotong hingga masak. Setelah masak angkat dan letakkan sotong di dalam bekas yang telah dihias dengan hirisan timun, lada benggala dan lobak merah. Boleh la cuba ye.


Rabu, 8 Jun 2011

Asam Pedas Ikan Terubuk Masin


Bila sebut pasal ikan masin mesti ada yang terliur. ASAM PEDAS IKAN TERUBUK MASIN itulah resepi yang ingin kakiza kongsi hari ini. ikan terubuk masin ni boleh dapat di sawarak. Walaupun banyak tulang tapi memang sedap. Jom la kakiza kongsi resepi asam pedas ikan terubuk masin ni.

BAHAN UNTUK MENUMIS:
  • 1 labu bawang besar (dihiris nipis)
  • Sedikit biji halba dan biji sawi

BAHAN UNTUK DIKISAR:
  • 5 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu teh jintan manis
  • 1 inci kunyit hidup
  • 3 ulas bawang putih

BAHAN-BAHAN LAIN:
  • 2 batang serai diketuk
  • 4 sudu besar cili kering yang dikisar
  • 1 ekor ikan terubuk masin (dipotong kecil dan rendam)
  • 2 biji terung kecil, dibelah
  • 4 biji bendi
  • 1 biji tomato dibelah
  • air
  • 2 kuntum bunga kantan
  • segenggam daun kesum
  • air asam jawa
  • garam dan gula (boleh tambah perisa jika suka)

CARA-CARANYA:
  1. Mula-mula panaskan sedikit minyak. Kemudian tumiskan bahan tumisan hingga naik bau wangi.
  2. Kemudian masukkan bahan yang telah dikisar tadi bersama serai dan cili kisar tadi, tumis hingga naik bau wangi dan pecah minyak...
  3. Kemudian masukkan air (agak-agak banyak mana). Masukkan terung, bendi, air asam jawa, bunga kantan dan kacau. Biarkan bahan-bahan tadi empuk
  4. Kemudian masukkan ikan terubuk masin dan, daun kesum, garam dan gula. Biarkan ia mendidih seketika.
  5. Sedia untuk dihidang dengan nasi yang panas-panas.

Rabu, 1 Jun 2011

Kuih Bingka Ubi

Minggu lepas mak kak iza buat KUIH BINGKA UBI. Dah lama tak makan. Bila balik kampung jelah baru dapat makan bingka ubi. Yelah kat kampung je banyak tanam ubi. Gambar ni pun kak iza ambil lepas setengah jam kuih masak. Lembik sikit sebab resepi ni tak gunakan tepung. Nak Tau tak resepi bingka ubi ni. Jom kita tengok resepinya.




BAHAN-BAHANNYA:

  • Ubi kayu (dibuang kulit dan dibersihkan)
  • 50 gm gula merah (dimasakkan bersama secawan air)
  • Sebiji kelapa parut (diambil santan pekat dlm 2 cawan)
  • Gula (Ikut suka nak manis sangat atau tidak)


CARA-CARANYA:

  1. Ubi kayu yang telah dibersihkan tadi di parut seperti parut kelapa.
  2. Ambil kain bersih, masukkan ubi yang sudah  diparut tadi ke dalam kain dan diperah seperti  perah kelapa.
  3. Hampas ubi tadi masukkan dalam bekas lain. Air ubi tadi pula biarkan seketika supaya sagu di dalam air tadi mendap.
  4. Kemudian masukkan gula, santan pekat dan gula merah tadi ke dalam hampas ubi tadi.
  5. Air ubi tadi dibuang dan diambil sagunya lalu dimasukkan bersama hampas ubi tadi. Kacau hingga rata.
  6. Kemudian masukkan ke dalam periuk acuan bingka dan masakkan di atas api yang sederhana. Sentiasa tengok dalam setengah jam supaya kuih tidak hangus. 
  7. Setelah masak sejukkan dan potong menggunakan pisau plastik.
  8. Sedia untuk dihidang.